Assalamualaikum w.b.t.....
Semoga semuanya serta keluarga dalam lindungan Ilahi, Rabbul Izzati yang menguasai seluruh alam serta sentiasa dalam lembayung rahmatNya.... Ameen.
InsyaAllah, lagi 3 hari Syawal bakal menjelma. Ini bermakna, kita sudah berbaki 3 hari lagi didalam bulan Ramadhan yang penuh berkah ini. Teruslah memburu dan mencari keberkatan Lailatul Qadr yang lebih baik dari 1000 bulan. Semoga Allah mengurniakan nikmat dan ganjaran ini dan menjadikan iman dan roh kita bertambah kuat dan teguh dalam menelusuri rempah ratus kehidupan yang dipenuhi dengan berbagai ujian kesenangan ataupun kesusahan dalam kehidupan mahupun perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Sebagai insan kerdil kita semua tidak lepas dari melakukan sebarang kesilapan dan dosa kepada Allah SWT.
Justeru sebagai hamba Allah yang beriman, langkah yang wajar sentiasa dilakukan ialah bertaubat di atas segala kesilapan dan dosa, memohon dosa diampunkan, ditutup segala keaiban di dunia dan juga di akhirat serta dimasukkan dalam golongan orang yang mendapat keredhaan Ilahi serta ganjaran syurga firdaus yang tidak ada tolok bandingnya di alam ini. Sesungguhnya mereka yang sanggup berdiri melakukan ibadah di sepanjang malam-malam Ramadhan dan pada malam-malam bulan seterusnya ialah orang-orang yang hatinya terpaut untuk mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.
Di awal perjuangan Islam, Allah telah menurunkan ayat yang mewajibkan semua orang yang beriman untuk bangun menghidupkan malam mereka seperti di dalam Surah Al-Muzammil. Diperintahkan bangun menghidupkan separuh malam, dikurangkan sedikit atau lebih dari separuh malam. Hingga bengkak-bengkaklah kaki Baginda Nabi s.a.w dan para sahabat demi melakukan amalan qurba –iaitu mendekatkan diri kepada Allah dengan rukuk dan sujud yang panjang. Semua ini adalah kaedah dalam manhaj perjuangan yang ditunjukkan oleh Baginda Ar Rasul s.a.w iaitu manhaj perjuangan yang didasari oleh hubungan yang kuat dan erat dengan langit, hubungan dengan Rabb, hubungan dengan Allah yang menjadi tempat bergantung dan berharap, tempat tumpuan doa dan harapan hinggalah Allah itu tempat segala pengharapan dan kasih sayang serta kecintaan.
Sebagai mereka yang menelusuri jalan dakwah dan memikul bendera Al-Hak , kita tidak cukup hanya dengan melakukan dakwah umum, strategi dan mesyuarat akan tetapi perjuangan kita hendaklah perjuangan yang dinaungi oleh keberkatan Langit, keberkatan Ilahi, bimbingan yang Suci, dengannya kita mendapat ilham, dengannya kita diberi taufik dan hidayah dan memilih pandangan yang lebih bersih berdasarkan kuatnya iman dan keyakinan kita kepada tali Allah SWT. Dengan hubungan yang tinggi inilah hati-hati kita akan bersatu di atas tali keimanan dan mempertautkan persaudaran dan kasih sayang serta hubb (cinta) di atas jalinan Lailahaillallah Muhammad Rasulullah.
Dengan ikatan yang bersih ini para hati mukminin akan bersatu tidak kira dari mana mereka datang. Itulah rahsia yang telah memberi kekuatan dan izzah kepada para sahabah. Itulah kekuatan ruhi yang tidak dapat dilihat akan tetapi dapat dirasai dan digeruni oleh para musuh Allah Rum dan Parsi hingga tersungkurlah mereka di kaki para sahabah ridwanullah alaihim ajmain. Itulah kekuatan ruh yang dapat membuka Kota Baitul Maqdis oleh Saiyyidina Umar Ibnu Al-Khattab. Itulah kekuatan ruh yang dapat melibas pedang-pedang musuh Allah sehingga dikatakan pedang Khalid Al-Walid Saifullah patah 16 kali sewaktu dalam makrakah jihad menentang bangsa Rum dan menawan Syam.
Dengan ikatan yang bersih ini para hati mukminin akan bersatu tidak kira dari mana mereka datang. Itulah rahsia yang telah memberi kekuatan dan izzah kepada para sahabah. Itulah kekuatan ruhi yang tidak dapat dilihat akan tetapi dapat dirasai dan digeruni oleh para musuh Allah Rum dan Parsi hingga tersungkurlah mereka di kaki para sahabah ridwanullah alaihim ajmain. Itulah kekuatan ruh yang dapat membuka Kota Baitul Maqdis oleh Saiyyidina Umar Ibnu Al-Khattab. Itulah kekuatan ruh yang dapat melibas pedang-pedang musuh Allah sehingga dikatakan pedang Khalid Al-Walid Saifullah patah 16 kali sewaktu dalam makrakah jihad menentang bangsa Rum dan menawan Syam.
Ini menunjukkan bahawa dengan muhasabah seorang hamba dan seorang Daie di malam-malam harinya serta tangisan yang mengalirkan air di waktu dinihari adalah madrasah yang akan membetulkan kalbunya, membetulkan niatnya dalam perjuangan, membersihkan hatinya dari sifat mazmumah, sifat bangga diri, sifat riya’, sifat ujub akan kehebatan amalnya, sifat sum’ah iaitu sifat suka mendengarkan akan amal dakwahnya yang banyak serta segala sifat-sifat terkeji yang menghalang amalnya menuju Allah SWT. Ingatlah, Allah SWT hanya akan menerima amal yang ikhlas sahaja dan amalan yang dicemari oleh syirik yang tersembunyi serta niat-niat yang lain selain Allah hanya akan membawa kita ke dalam api neraka jahannam. Kita menyangka kita sudah banyak beramal, akan tetapi itu semua hanyalah fatamorgana dan menjadi bakaran api nereka buat kita, nauzubillah min zalik.
Puasa adalah madrasah yang amat hebat. Kita semua dilatih merasai kepedihan dan kesusahan jiran, serta rakan kita yang susah dan miskin. Kita dilatih menghulur sumbangan, menghulur sedikit wang dari kocek kita kerana Allah, membantu saudara yang memerlukan. Moga sifat berkorban atau tadhiah akan menjadi darah daging kehidupan kita dan menjadi syiar kepada keperibadian kita.
Menjelang datang syawal, golongan beriman akan menangisi saat akhirnya Ramadhan kerana hilanglah rahmat bulan yang hebat ini. Hilanglah sinar-sinar kebaikan bulan ini dan berdoa akan diberi lagi kebaikan bulan ini pada tahun yang akan datang jika umur nan panjang. Marilah kita gunakan kebaikan bulan Syawal pula untuk memohon kemaafan kepada ayahanda dan bonda kita samada yang masih hidup ataupun telah menuju alam abadi. Jika mereka telah tiada doakanlah buat mereka sentiasa bila sahaja anda teringat. Itulah adab dan amalan anak yang soleh dan doanya akan kesampai kepada ayahanda dan bonda dengan izin Allah SWT di alam barzakh sana.
Akhiron, sambungkanlah silaturrahim sesama muslim dan muslimah. Ziarahilah mereka yang lebih tua dari kita termasuk sahabat-sahabat ayah dan ibu kita. Tunjukkanlah wajah yang manis dan janganlah bermasam muka :)
Minal A’idin wal faaizin. Kullu Aamin waantum bikhairin.
Wallahu'alam.